KUCHING, 15 Oktober 2026 – Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity di Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada Khamis.
MoU itu dimeterai antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).
Majlis tersebut turut disaksikan Menteri Komunikasi, Dato' Seri Ahmad Fahmi bin Datuk Mohamed Fadzil, manakala pertukaran dokumen dilakukan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din, dan Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh.
Projek berkenaan bertujuan memperluas kesalinghubungan digital dan memperkukuh penggunaan teknologi dalam pengurusan bandar di kawasan Greater Kuching, yang meliputi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Kerjasama strategik itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh infrastruktur rangkaian digital bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif.
Antara skop yang dikenal pasti termasuk pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan Wi-Fi awam, penggunaan teknologi kembar digital (digital twin) serta pembangunan Pusat Operasi Rangkaian (Network Operations Centre, NOC).
Pelaksanaan projek itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengurusan trafik dan kemudahan awam, mempercepat tindak balas terhadap insiden serta memperluas akses masyarakat kepada kemudahan digital.
Aspek keselamatan siber, perlindungan data dan tadbir urus turut diberi perhatian bagi memastikan penggunaan teknologi dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Inisiatif itu mencerminkan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam mempercepat transformasi digital serta pembangunan bandar pintar yang berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 dan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.